Puisi:Mengerti Erti Dugaan

Dulu kata orang
“ Jangan berumah di tepi pantai kalau takut bermain ombak”
Kata orang muda, memadu kasih biar saksinya pantai ombak
Akhirnya kami menjadi teman pada ombak
Menjadi rakan pada pantai

Hari itu ombak bukan lagi teman kami
Ombak bukan lagi rakan kami
Pantai bukan lagi saksi sepi
Laut tidak lagi mengukir kasih buat kami

Dulu kami tidak kenal warna Tsunami
Entah merah,entah biru
Dulu kami tidak tercium bau Tsunami
Kerana kami tak pernah berkenalan dengan Tsunami
Kami hanya tahu laut biru
Pantai putih ombak berdesir


Kami bermalam, berteduh, mencari rezeki
Hanya di laut dan pantai
Rakan kami tempat mencari rezeki
Berehat menenang fikiran
Memeterai janji

Ombak itu bukan teman lagi
Kerana sudah mengganas tak terperi
Membunuh mangsa tak kenal simpati
Dia tetap makhluk Illahi
Datang sudah pasti
Bagai kiamat yang kita tidak kenali
Anak tercampak ke tepi
Ibu terdampar sepi
Ayah sakit tak terperi
Sahabat kaku tanpa mengerti
Lalu semua orang yang masih hidup mengerti kini
Itulah Tsunami.


Abd. Raai Osman

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Telekung Ini

Nak raya ke tak nak raya?

Ramadhan Tiba Setelah Pergi