Jumaat, Oktober 28, 2005
Puisi:Mengerti Erti Dugaan
“ Jangan berumah di tepi pantai kalau takut bermain ombak”
Kata orang muda, memadu kasih biar saksinya pantai ombak
Akhirnya kami menjadi teman pada ombak
Menjadi rakan pada pantai
Hari itu ombak bukan lagi teman kami
Ombak bukan lagi rakan kami
Pantai bukan lagi saksi sepi
Laut tidak lagi mengukir kasih buat kami
Dulu kami tidak kenal warna Tsunami
Entah merah,entah biru
Dulu kami tidak tercium bau Tsunami
Kerana kami tak pernah berkenalan dengan Tsunami
Kami hanya tahu laut biru
Pantai putih ombak berdesir
Kami bermalam, berteduh, mencari rezeki
Hanya di laut dan pantai
Rakan kami tempat mencari rezeki
Berehat menenang fikiran
Memeterai janji
Ombak itu bukan teman lagi
Kerana sudah mengganas tak terperi
Membunuh mangsa tak kenal simpati
Dia tetap makhluk Illahi
Datang sudah pasti
Bagai kiamat yang kita tidak kenali
Anak tercampak ke tepi
Ibu terdampar sepi
Ayah sakit tak terperi
Sahabat kaku tanpa mengerti
Lalu semua orang yang masih hidup mengerti kini
Itulah Tsunami.
Abd. Raai Osman
Khamis, Mei 05, 2005
Puisi: Kembali membina warisan perkasa:
Semua insan terpaku kelu bila menatap berita
“kiamat kecil berlaku bila Tsunami melanda”
Ketika Jurufoto gagal mencapai kamera
Merakam ombak mengila
Anak tidak sempat memanggil papa
Anak tidak sempat menyelamat bonda
Cucu tidak sempat membantu ninda
Insan tidak kuasa menyelamat harta.
Andai kita mampu menyepi menatap berita
Mereka melihat bencana dalam pilu
Ayah terkapai-kapai dibawa arus
Anak tercampak dari pelukan ibu
Bonda terlepas anak sedang menyusu
Penulis hilang ayat untuk ditulis
Apa ayat harus diketip pada baik-baik bahasa
Mencerita bencana, mencerita kisah hiba
Menghebah cerita duka
Di sini kita mengutip ayat
Di sana mereka mengutip mayat
Di sini kita melihat kisah menyayat
Di sana mereka tidak dapat menyambung hayat
Itulah kisah hidup dan hayat
Bukan mudah mencerita hikayat
Kerana kesan sedih sepanjang hayat.
Jika kita mampu menahan hiba
Melihat kisah mereka, mereka tidak rela
menerima bencana
Walaupun kalau tidak punya dosa
Tapi terpaksa melihat kesan hiba
Sambil membina semangat sepanjang masa
Kerana esuk perlu diperkasa
Membina warisan bangsa
Kerana bangsa perkasa
Tidak terus dipeluk hiba.
Abd. Raai Osman,
Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
**Disiar oleh Senada UKM Feb 2005
Selasa, Februari 08, 2005
Terima kasih Ibu - 2
Terima kasih ibu,
kerana mengizinkan aku menjadi menantu Mu,
dalam sesingkat waktu,
Aku memanggil Ibu.
Setelah aku tak punya Ibu
ketika menjadi piatu...
Kau tetap Ibu walaupun tidak mengandungkan aku
dan tidak menyusukan aku
Terima kasih Ibu,
kerana kau melahirkan untukKu, seorang kekasih,
seorang teman karib juga seorang isteri untukKu.
Kini menjadi ibu untuk anak-anakKu
Terima kasih Ibu,
Dalam pilu kau pergi.
Walau sekelip cuma kami berbakti
Itu ketentuan Ilahi.
Kau Ibu MertuaKu,
Yang telah mewarnai kehidupan ini.
Dengan kerenah kami
Kau pergi dalam pilu, anak-anak dan cucu-cucumu..........
A. Raai Osman
Jalan Bakariah, Muar, Johor.
26 Disember 2004
Ramadhan Tiba Setelah Pergi
Ya, Ramadhan datang dengan kesyahduannya….amin.
Sejukkah kali ini Ramadhan buat Mu?
Atau panas kerana melupas dosa Mu…?
Subhanallah walhamdulillah walailahaillah…(selawat))
Kalimah itu hadir lagi
Kalimah itu bergema lagi
Kalimah itu diucap lagi…..
Subhanallah…..
Ramadhan rupanya;Kau datang lagi
Ku peluk Ramadhan itu malam tadi
Umpama Rasullah memelukNya di kamar sepi.
Menitis air mata ini…
Rupanya Ramadhan ini kemari
Mahu menyuci dosa yang terus berbaki
Ketika mencari Lailatul Qadar
Kita gembirakah?
Kita hibakah?
Kerana hadirMu setelah pergi?
Setelah Dia hadir kita gembirakah?
Setahun dulu kau diangkat oleh Illahi
Sewaktu tibanya Aidil Fitri
Kita bagai merasa tidak ketemu lagi….!
Di malam akhirMu diri ini menangis hiba
Kuatir tidak bersua lagi!!
Kami tahu lagi mengerti
Seribu bulan padaMu
Ada seribu rahmat dariMU
Kami akan sambut
Kami akan peluk
Ketika Ramadhan merangkak pergi
Kerana kami mahu Firdausi
Ramadhan akan menjadi tua
GerhanaMu akan menjadi sabit
Ketika sepuluh akhir tiba
Kanak-kanak riang di Tujuh Likur
Ibu semakin sibuk di dapur
Imam, Bilal dan Jemaah Terawih dihimpit hiba
Ramadhan akan pergi
Ibarat tetamu sedang bersalam
Ibarat tetamu menitis pilu
Semakin kau akan berlalu
Semakin kita diusik rindu
Syawal akan tiba
Ramadhan akan pergi jua
Kita di mana?
Di mana usia kita
Yang pasti kita akan tua….!
Allah huakbar Allah huakbar….(takbir raya)
Ramadhan telah pergi
Sewaktu Maghrib tadi
Kita mengesat air jernih di pipi
Di pagi Aidil Fitri………
Raai, Bangi.
1 Ramadhan 1425
- Puisi ini telah dibaca semasa Aspereasasi Puisi UKM 2004/1425.
- Tempat Anjung Seni UKM.