Antologi Puisi

Pengenalan:
Antologi puisi ini merupakan usaha saya untuk mengumpulkan semua puisi-puisi yang pernah diterbitkan oleh media massa tempatan. Saya kerap menggunakan nama sebenar atau nama samaran ARAIMAN, SYAWAL.R

Doa untuk ayah di Aidil Fitri

Tiada lagi kucupan ditangan ayah
dan hanyalah siraman air mawar di pusara
bersama doa untuk kebahagian mu.

Pagi hening bersama takbir
hati sedu;
di saf solat Hari Raya tiada wajah ayah
bersama menyujud memuji keesaan Illahi.

Air mata ini telah kering
dan kini hanya keringat yang ada
untuk berbakti hanya pada bonda
dan bagi mengucup terus tangan bonda
di pagi Aidilfitri............

- 9 Ramadhan 1401. Batu Caves KL.
WATAN 24 Julai 1981


Seorang Perempuan Tua

Dan datanglah padaku
perempuan tua seorang ibu;
menyapa
lalu bertanya
dengan merayu.

Anak nampak dia?
berlalu di sini seorang dara
membawa sebuah bungkusan,
berisi pakaian;
entah kemana menghilang.

Dia anak ibu,
seorang dara;
kulit hitam manis,
rambut hingga ke bahu
bertahi lalat di pinggir bibir
lari tadi pagi
mahu ikut lelaki
seorang buahatinya.......

Seorang bernama aku,
mampu menggelengkan kepala
tidak tahu juga tidak nampak
pada dara yang dicari.

Seorang ibu
membawa diri
tinggallah seorang aku
kini sudah mengerti,
kenapa dara itu
dicari...............!

- Sains Hayat 19 September 1981
SENADA UKM. FEBRUARI 1983


Seorang Pesakit Tua

Dia seorang pesakit tua
sedang menunggu giliran
akan dipanggil entah bila
untuk menerima rawatan.

Dan dalam hatinya
masih tertanya
sampai bila dia
harus menanti
jemputan ke alam abadi.

- Kajang, Selangor
Mingguan Malaysia - 4 September 1983


Sepasang Nesan

(Nostalgia: buat ayahku Osman Bin Ahmad)

senja ini tetap merah
persis mewarnakan
sebuah kesayuan
waktu hujan
menjelang malam
tiga belas tahun
silam

umpama mimpi
diri ini
waktu merasai
nadimu
kau dijemput illahi
yang dirindui
sekian lama

kami jua
tetap menanti-lalu bersedia
entah bila
akan layu dedaun usia
lalu
gugur
tiada berbau

mungkin pusaramu
dingin
waktu hujan begini
bersama nisan kaku
sepasang
menemanimu

ilahi tetap mengerti
dari insan semua
dirimu
ketika ini bagaimana

-fakulti sains hayat.
SENADA UKM - September 1983.


Sebuah Catatan Yang Telah Basi

Pada sebuah catatan yang telah basi
di pinggir sebuah lorong;
terpampang satu papan merah
'Dilarang membuang sampah',
dan, 'Keluarkan ringgit jika degil'

Sampai bila lorong ini menerima amaran?
hingga hilang bau hanyir yang meninggi?
bila hidung terpaksa disumbat
ketika lorong dilewati
dengan tikus dan kucing sedang menari
tarian ala kota;
'Kami riang di sini-bisa mendapat
makanan yang enak',
seekor anjing kurap senyum bersama
menenggek di longgokkan sampah;
menyanyilah lalat tua-
'esuk akan datang lagi......'

Kalau dihapuskan semua ini
seribu lalat tua menjadi baja;
jika dihanguskan;
sejuta tikus montok tiada cucu lagi,
hilanglah lagu kota yang jengkel
hanyir sebuah lorong akan wangi
tiada basi lagi sebuah lorong.

FSH
Berita KESUKMA - Okt/Nov 1983


Bonda (1)

Andai engkau tidak bermimpi
untuk menjadi isteri ayah;
aku pasti tidak akan termimpi
untuk melihat dunia yang indah.

Jasamu adalah milik peribadi
sukar dibayar oleh sesiapa
untuk memnbalasnya
cuma doa-doa syahdu
setelah kau kembali
mengadap Illahi.

Kajang, Selangor
Mingguan Malaysia - 25 Mac 1984


Malaikat Telah Bertamu

Ketika itu malaikat telah bertamu
dan ruang sempit menjadi saksi dia
akan pergi
setelah tuhan tidak melambat atau
mencepatkan
dan dunia akan menyaksikan sebuah kematian

Ketika malaikat datang dari empat
penjuru
waktu itu juga iblis-iblis berkeliaran
mendakwa kau akan mati dalam kesesatan
lalu penyesalan kerana mengucapkan
La ila ha illallah.............!

tuhan tidak akan membiarkan hambanya
dihasut iblis untuk kali kedua
andai hambanya adalah seorang
umat yang setia pada ibadat
dan iblis akan keciwa kemudian
andainya dia adalah teman
setia pada Quran dan segalanya
lalu iblis akan keciwa juga apabila
dengan lembut malaikat mencabut nyawanya.

FSH, UKM.
Berita KESUKMA - Mac 198


Perkahwinan

i.
Setia purnama berlalu
seorang tunang menanti penuh debaran
untuk menempuh hari bahagia
sebagai seorang pengantin.

ii
Kini setiap saat berdetik
seorang pengantin menunggu penuh debaran
kehadiran pasangan menyentuh jejari
di atas pelamin indah dihiasi.

iii
Di musim berlalu kini
seorang isteri
dalam debaran menanti
seorang cahaya mata
buat mengisi ruang-ruang sunyi
ketika hari-hari tua.

FSH UKM.
Berita KESUKMA - Mei 1984


Sekali Lagi

Sekali lagi
aku kembali ke rumah itu
bertemu seorang lelki tua
yang penuh dengan cerita
di zaman mudanya
dengan berbagai kisah perjuangan
hingga kini belum tercapai.

Sekali lagi
aku meninggalkan lelaki tua itu
dalam keseorangan
tanpa teman untuk berbicara
menghilangkan rasa sunyi
ketika malam merangkak tua.

Sekali lagi
aku mendengar berita
lelaki tua
di teratak usang itu
terlantar sakit
tanpa anak dan isteri
di sisinya
sebagai saksi
ketika bertamunya
malaikat maut.

Sains Hayat, UKM - 18 Mei 84
SENADA UKM, Bangi.


Mak......;mana adik?

Kata mak esok adik datang
adik baru comel macam aku
mata hitam, bibir merah, pipi gebu
macam ayah, nenek dan aku.

Hari silih berganti
mak tetap membisik padaku
adik tetap datang esok
untuk menjadi kawanku
dan menjadi adik baru
tempat aku menghilang sunyi.

Hari ini adik tidak juga datang
ku cari mak tiada
ku lihat ayah murung
nenekku kelihatan sayu
datuk sedang menahan sebak
dan mak cik berbisik,
- diam sayang,
mak sudah pergi
adik tidak akan datang............................

Sains Hayat, Bangi, Selangor - 1984
SENADA UKM - September 1984


Kita Akan Datang Lagi

Berhenti kita sejenak di sini
lalu memberi salam pada penghuni
yang telah tidak mengerti lagi
tentang kehidupan alam ini
lalu kita menjadi sepi
ketika doa diberikan
untuk roh-roh yang masih mengerti.

Di sini kita akan hadir lagi
setelah tubuh menjadi kaku
ketika keluarga diusik pilu
melepas kepergian itu.

Waktu itu kehadiran kita
adalah abadi
tidak akan melangkah pergi
seperti biasa
selepas menyemai
kuntum-kuntum doa

- Sains Hayat
Berita KESUKMA Sept/Okt 1984.


MASIH MAMPUKAH

Masih mampukah untuk hidup
ketika malaikat maut
sudah bertamu?
dan sewaktu
anak dan isteri
sedang pilu
menatap wajah
dalam keuzuran!

Mampukah untuk mati
sewaktu melihat seorang sahabat
yang mati dalam kemiskinan
- kekurangan ibadat
yang dapat menjadi
peguambela
ketika kehadiran
dua malaikat
Munkar dan Nakir

Sains Hayat
SENADA UKM - Disember 1984


Bicara Seorang Anak

Hari ini
kalau kau berada di sisiku
kau akan membicarakan dengan teliti
tentang hukum dan cara hidup Islam
menghuraikan sifat dua puluh
supaya aku mengenal Allah.

Waktu begini
kau akan menyuruh aku azan
dan qamat penuh pekerti
lalu kita menunaikan
fardhu sembahyang bagi menegakkan
rukun yang lima.

Waktu berlalu
semuanya menjadi sejarah
dari jasamu aku abadi
mencoba menjadi anak yang soleh
biarpun ianya amat pahit
demi kebahagiaan rohmu
aku cuba memberi fatihah
semoga kau lapang di alam barzah
dan gembira di padang mahsyar.

Setiap masa begini
jasamu terus kubaja
warisanmu terus kubelai
dan kukira hanya pada bonda
kasih kusemai
demi penasaran
tidak sempat membalas jasamu
ayahku

SENADA UKM - Feb/Mac 1985


BICARAMU ADALAH SEMANGAT WAJA
- Kalangan ingatan untuk Allahyarham Mohammad Isa yang kembali ke Rahmatullah tanggal 2 April 1985.

Kali akhir aku bicara denganmu
di wajahmu sayu menampakkan pilu
di hatimu ikhlas menampakkan syahdu
di dadamu kurasa penuh semangat menunggu.

Selang lama kita tidak berbicara
tentang tugas dan masa depan
dan perasaan hati menempuh kehidupan
dan kita diserang resah dalam penantian.

Sore itu adalah segala
kita adalah insan lemah
dari tuhan adalah segala
dan kita akan kembali menemui Allah
aku pasti waktu bertamunya
insan Allah (malaikat maut)
kau masih sempat berbicara-
-tiada tuhan melainkan Allah;
Muhammad adalah pesuruhnya.

Bangi, Selangor.
Berita KESUKMA - April/Mei 1985


Doa Seorang Hamba

Tuhan aku seolah-olah mati sewaktu bernafas
ketika dugaan ini kau serahkan
yang tidak pernah diduga akan menerima
bagaikan batu yang besar lagi membebankan.

Dan kini aku rasa bagaikan dunia sepi
kerana kegelapan yang kualami dalam
pencarian
yang sukar untuk menyelesaikan dalam jangka
waktu begini.

Tiba kini aku terpaksa mencari kekuatan diri yang azali
padaMu tuhan aku letakkan segala harapan
yang tinggi
agar kau ambil kembali dan menghindarkan
diri ini
dari segala yang menyiksakan hati.

Sains Hayat.
Berita KESUKMA- Januari 1986

Petani & Nelayan

Petani adalah lukisan lama
tetap dengan warna
penderitaan yang memanjang
dalam hiba masih suka
menanti hari muka
yang belum pasti
apakah dunia akan terus aman
dan bahagia.

Nelayan adalah ukiran asli
lambang pada keteguhan
dan kesabaran
menanti gelombang
dari pantai
ketengah lautan
merenung nasib
untuk esok
lusa dan
entah bila

SENADA UKM - April 1986


Kejadian

Alam ini telah menyaksikan
satu peristiwa silam ketika
gajah-gajah
menjadi raja di kota Mekah
mengancam memusnahkan rumah Allah
oleh musuh-musuh Allah yang menganas.

Tiba-tiba gempar di langit Kota Keramat
ketika itu bagai bintang di malam hari
Abbabil menjelma mangsa di cari
musuh Allah yang tidak pernah mengenali
erti kemanusiaan untuk manusia sejagat.

Ketika itu dunia digemparkan
oleh kelahiran manusia utusan Tuhan
penyelamat keganasan dari segala keganasan.

Dewasa ini bagaimana;
dunia panas di mana-mana
kekejaman bagaikan membara
bahangan unggun api
insan gelisah setiap masa.

Berita KESUKMA - Disember 1986


Milik Kita

Kau miliki apa jua
segalanya adalah sementara
walaupun kau anggap kekal
namun segalanya adalah palsu
yang dicipta ketika kau berkhayal
sewaktu tidak sedar kau
sedang diuji oleh khalidmu.

Kau miliki ayah dan ibu
mereka akan hilang setelah sampai
masa
sewaktu kau menangis kerana menjadi piatu.

Kau miliki harta
lalu kau insaf setelah papa
bahawa harta itu hanyalah ujian kehidupan.

Kau miliki anak,
segalanya cuma pinjaman
sebagai tanggungjawab menjadikan ia hamba Tuahn.

Lalu kau miliki dirimu
itu adalah mainan hidup
dengan paras yang indah

Kau akan sedar jua
Kau cuma pinjaman
setelah tubuhmu dibaluti kain putih!

SENADA UKM - Januari/Februari 1987


Macamana Jika Esuk Gaji Lagi

Esuk hari gaji
hari ini membilang jari
tentu esuk tak kering gusi
sebab menunggu wang sambil berdiri
berpeluh badan sampai ke kaki
penat macam orang berlari.

Esuk hari gaji
entah berapa akan diberi
hasil kerja semalam hari
memerah keringat tak kenal erti.

Esuk hari gaji
tentu tak nyenyak malam nanti
kerana sedang membilang jari
-membayar hutang perlu sekali
api air perlu dijelas
baju anak mesti dibeli
kain isteri wajib diganti
sewa rumah dan berbagai lagi.

Bila tiba hari gaji
wang mengalir begitu laju
kepala pening lutut lesu
sakit badan berbagai lagi
sambil mengeluh sendiri
---tentu bagus kalau esuk gaji lagi.........?!

Berita KESUKMA - April 1987


Tidak Kutangisi

ku tabur kemboja indah
di pinggir nisan ayah
dan ku rela kemboja ini
layu
seperti tidak ku tangisi
kepergianmu dulu
sewaktu masih tidak mengerti
ketika bonda membantu
melafazkan dua Kalimah
Syahadah
di sisimu
yang kian membujur kaku

Sains Hayat
SENADA UKM - November/Disember 1987


Sewaktu

Sewaktu diri sedang tenat
keinsafan menyelimuti rasa
mengingati pada Yang Asa
mengenang pada dosa
perasaan cemas terasa
ketika teringat tiada pahala.

Sewaktu diri sedang tenat
cemas bergenang di kolam rasa
apakah akan hadir malaikat
bila-bila masa untuk menagih
nyawa?
atau datang simpati buat
menerus hidup dan mencari di mana
adanya pintu taubat.

Sewaktu diri sedang tenat
apakah lunak mendengar firman
atau telinga dipekakkan Tuhan
oleh dosa-dosa yang
bergelimpangan
lalu lemas bersama keinsafan
bahawa telah hampir keberangkatan
dan anak isteri dalam kepiluan
sewaktu kita sebak melawan
datangnya malaikat maut;
kita ketakutan.........................

SENADA UKM - Mac/April 1988


Kalkatu

Tinggi mengawan
itulah harapan
seekor kalkatu
mahu ke bulan
ke awan
juga ke matahari.

Bila malam
kalkatu membawa diri
terbang tinggi
bersama cita-cita
hendak mencapai
bulan
awan
dan matahari.

Kalkatu itu pasti mati jua
pada perubahan alam
lalu tersadai
dan kecundang
di sinaran
lampu-lampu neon.

SENADA UKM - September/Oktober 1987


Kemesraan

Dulu pernah kita
bersama mengharungi
sawah berlumpur dan merenangi sungai
bahangmu pernah ku rasa
dalam keperitannya
dan kepayahan kehidupan ini.

Hari ini aku datang
rakan-rakan masih riang
pada kejujuran dengan
ingatan kisah lama.

Akhirnya kita akui
perpisahan ini
mengukir sebuah kemesraan
yang abadi.

SENADA UKM - September/Oktober 1987


Nenek Ku Sayang

Semalam nenek mendodoi
lagu 'Ikan Kikik Mak Iloi-Iloi'
aku dan adik terlena sepi
nenek tumpang lena di sisi
sama-sama dibuai mimpi.

Hari ini nenek masih di sisi
tidur nenek tidak berdengkur
ada insan di sisi
membaca ayat-ayat suci
di balik tabir
emak ayah menyepi.

Esuk nenek ku cari
sepi suara nenek membisu
nyanyian nenek mendodoi tiada
adik terkapai payah terlena
emak cuba mengganti nenek
di pipinya air pahit menitis
suara pilu mendodoi
adik tetap payah tidur

-Aku terlena bermimpi
nenek tak akan pulang lagi...............

Sains Hayat
SENADA UKM - 30 November 1991


Kisah Kampus

Selamat datang teman
aku menerimamu dengan tenang
menjanjikan satu kedamaian
untukmu ilmu di mana-mana.

Campakkan susahmu di tebing
Sungai Langat
lihatlah apa-apa saja ilmu
di kuliah-kuliahmu
carilah di mana-mana
Tun Sri Lanang menantimu.

Usah disayu pada ibu yang ditinggalkan
dia sering berdoa untuk kejayaanmu
dan jangan kau lupa mendoa untuknya
demi restunya.

Katakan pada kekasihmu
-aku ke sini memetri cita-cita
bukan memahat cinta.
Padankan semangatmu
dengan cabaran yang ada.

Taburkan pada masyarakat budimu
sesubur Hutan Bangi
setenang Sungai Ilmu
aku yakin kau akan bangun nanti
sebagai mahasiswa perkasa
aku akan gagah apabila
kau ucapkan selamat tinggal untukku.

SENADA UKM - Julai 1992


Terima Kasih IBU

(Nostalgia 18 November 1991)

Terima kasih IBU
kerana mengandungkan AKU
sembilan bulan sepuluh hari itu
dalam senyum KAU lesu
doaMU
agar AKU sehat selalu.

Terima kasih IBU
kerana telah melahirkan AKU
penuh mesra dan syahdu
AKU diampu di ribaanMU
ketika menyusui AKU

Terima kasih IBU
kerana telah membesarkan AKU
KAU memberi ilmu
untuk keperluan rezekiKU
KAU memberi kasihMU
untuk kenangan abadiKU.

SENADA UKM - Januari 1993

Nota:

*SENADA - ialah buletin rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia.
* KESUKMA - ialah Kesatuan Kakitangan Am UKM.


Demikian antara koleksi puisi saya yang pernah mendapat tempat di media tempatan dan UKM sejak awal tahun 1980a. Namun saya mula berjinak menulis sejak tahun 1974 ketika menulis untuk majalah sekolah. Kebanyakan puisi saya berlegar tentang kasih sayang anak, ibu dan ayah sebagai ekoran suasana begitu dalam kehidupan saya. Terima kasih kerana kunjungan anda.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Telekung Ini

Pesan Bonda